DEKLARASI HARI PEKERJA 2023 |
Written by admin |
Monday, 01 May 2023 10:43 |
DEKLARASI MEI 1,2023 GAJI BERMARUAH, JAMINAN MAKANAN
Pasca Covid 19, walaupun ekonomi negara sedang pulih namun tidak dapat dinafikan bahawa kos sara hidup rata-rata keluarga di Malaysia semakin tinggi. Pendapatan yang rendah masih tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat ini. Rakyat B40, terutamanya golongan pekerja, peniaga kecil, pelajar dan penganggur telah terjejas teruk akibat kos sara hidup yang sangat tinggi. Isi rumah merasai tekanan kenaikan kos sara hidup bukan sahaja apabila harga meningkat, tetapi juga apabila pendapatan tidak meningkat pada kadar yang sama. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia Inflasi pada Feb 2023 adalah 3.7%. Peningkatan ini didorong oleh kenaikkan harga makanan dan minuman bukan alkohol (7%). Mengikut Laporan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, RM75.54 billion import makanan dicatatkan tahun lalu berbanding RM63.59 billion pada tahun 2021 dan 55.4 bilion pada tahun 2020. Ini menunjukkan barangan makanan semakin banyak diimport dari luar negara tetapi pada masa yang sama di Malaysia pekebun kecil, penternak dan petani diancam pengusiran. Maka sempena sambutan Mei 1, 2023, kami mengetengahkan tuntutan-tuntutan berikut: A. HAK PEKERJA 1. Laksanakan Gaji Minima RM1500 mulai 1 Mei 2022 tanpa sebarang penangguhan atau pemberian pengecualian kepada mana-mana Syarikat. 2. Laksanakan Skim Jaminan Pendapatan Asas sebanyak RM1000 sebulan bagi pekerja di sektor tidak formal, pekerja persendirian berskala kecil, peniaga bersifat mikro yang kehilangan punca pendapatan pada waktu ini. 3. Hapuskan sistem kontrak bagi pekerjaan tetap dan wujudkan pekerjaan langsung samada di premis Kerajaan ataupun di swasta. 4. Mewujudkan Akta GIG demi menjamin kelestarian, kemampanan dan kebajikan mereka sebagai Penggiat Industri GIG dengan penetapan kadar upah yang adil, perlindungan keselamatan sosial yang setara atau lebih baik seperti KWSP *I-Saraan, PERKESO SKSPS dan SIP dengan caruman di wajibkan terhadap penggiat, syarikat dan kerajaan melalui kebersamaan tanggungan caruman. 5. Luaskan skop liputan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) dimana syarat-syarat seperti pekerja dalam kerja kontrak dikecualikan daripada faedah, pekerja yang memfailkan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) atau Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dinafikan faedah dan lain-lain harus dihapuskan. 6. Laksanakan Skim Pencen RM 500 sebulan kepada yang berumur 65 tahun ke atas untuk pekerja hidup bermaruah setelah bersara. Pengeluaran KWSP pada masa kini bukan satu penyelesaian. 7. Laksanakan Skim Pencen Ilat untuk semua pekerja pertanian, petani, penjaja dan peniaga kecil di sektor tidak formal. 8. Luaskan liputan PERKESO untuk 24 jam dan tidak terhad hanya waktu kerja sahaja. 9. Hak Kesatuan Sekerja – Hormati semangat keharmonian industri dengan memperkasakan kesatuan sekerja. Pembentukan kesatuan sekerja harus diutamakan untuk menjamin hak dan kebajikan pekerja. Pihak majikan harus hentikan aktiviti menghancurkan kesatuan sekerja di negara ini. 10. Hak Orang Kurang Upaya (OKU) - Jaminkan hak bekerja OKU. Laksanakan skim pekerjaan yang memberi peluang pekerjaan untuk OKU B. KESIHATAN Hak kesihatan kepada semua – Kerajaan harus meningkatkan dan memperkasakan hospital kerajaan dengan diberikan lebih sumbangan wang supaya dapat kekal memberikan perkhidmatan yang terbaik dan percuma kepada rakyat. Kerajaan juga harus membuat kajian untuk memiliknegarakan hospital kesihatan swasta untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik dan memadai C. PERUMAHAN 1. Hentikan pengusiran paksa – Kerajaan harus hentikan sebarang pengusiran paksa penduduk dari tempat tinggal mereka 2. Perumahan selesa – Hentikan pengusiran paksa terhadap masyarakat marhaen termasuk peneroka bandar, orang asal dan pekerja ladang. Skim Perumahan Rakyat pada harga yang mampu dibeli, lokasi strategik dan selesa harus dilaksanakan. D. PEKERJA MIGRAN DAN PELARIAN 1. Hak pekerja migran – Pekerja migran harus diberikan hak yang saksama dan perlindungan yang mencukupi. Hentikan eksploitasi – keadaan kerja yang tidak selamat, waktu kerja yang panjang, tiada latihan kemahiran, hak kesihatan tidak terjamin serta tiada perwakilan kesatuan sekerja. 2. Hentikan tangkapan migran dan pelarian – Kerajaan harus hentikan sebarang tangkapan atau penghantaran balik secara paksaan pekerja migran dan pelarian dan memberikan jaminan kepada mereka supaya mereka tidak mengelak diri dari mendapat rawatan kesihatan demi menjaga kepentingan kesihatan untuk semua. 3. Iktiraf hak kerja bagi pelarian dan peminta suaka – Kerajaan harus memberi hak kerja kepada pelarian di negara kita. 4. Laksanakan satu Dasar Komprehensif Nasional tentang Migrasi Buruh. E. JAMINAN MAKANAN DAN KAWALAN HARGA BARANG 1. Kawal harga barang – Kawal kenaikan harga barang dan perkhidmatan keperluan harian dan kembalikan semula pemberian subsidi kepada rakyat secara berkesan 2. Hak bertani dan jaminan makanan – Hentikan pengusiran petani dan penternak dari tanah mereka. Iktirafkan dan berikan geran tanah kepada golongan petani dan penternak yang telah lama bertani dan membekalkan hasil pertanian untuk kegunaan tempatan demi menjamin keupayaan pengeluaran makanan tempatan. F. HAK ASASI MANUSIA 1. Kebebasan media – Media utama dan alternatif harus diberi kebebasan untuk memberi maklumat sebenar kepada rakyat. Maka, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang menyekat kebebasan ini harus dimansuhkan. Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang menyekat kebebasan rakyat bersuara harus dibatalkan. 2. Hak pelajar – Mansuhkan AUKU, Akta 174, PTPTN, PTPKN dan semua akta yang mengongkong kebebasan akademik mahasiswa. Berikan pendidikan percuma kepada semua pelajar, kanak –kanak migran dan pelarian. 3. Mansuhkan Akta POCA, POTA, SOSMA dan Akta Hasutan (1948) serta segala undang-undang yang menindas rakyat dan kebebasan rakyat. Akta akta baru yang digubal harus ada konsultasi yang bermakna daripada pihak NGO hak asasi dan tidak harus melanggar hak asasi manusia 4. Hak pekerja wanita – hentikan diskriminasi berasaskan gender dan orientasi seksual di tempat kerja. Mansuhkan undang- undang, polisi dan tindakan yang mengakibatkan diskriminasi sedemikian. Gubal Akta Kesamarataan Gender (Gender Equality Act). 5. Hak kanak-kanak – Lindungi dan tunaikan hak kanak-kanak mengikut Konvensyen Hak Kanak-Kanak Sedunia (CRC) G. PENSWASTAAN Hentikan penswastaan perkhidmatan asas – Air, elektrik, kesihatan, pengangkutan awam, pendidikan tidak harus diswastakan demi keuntungan. Ianya satu perkhidmatan asas yang harus disediakan oleh kerajaan untuk rakyatnya. H. ORANG ASLI/ASAL Iktirafkan Hak Tanah Adat Orang Asal di Malaysia dan berikan hak milik kekal serta kukuhkan status tanah Rizab Orang Asal/Asli di Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak). Rancangan pembangunan tanah Orang Asal hendaklah berasaskan kehendak, keperluan dan aspirasi Orang Asal/Asli. I. ALAM SEKITAR 1. Isytiharkan darurat iklim dan segerakan pembentukan Pelan Adaptasi Nasional. Peruntukan untuk tingkatkan kemudahan dan kapasiti dalam kalangan masyarakat, terutama untuk komuniti terpinggir, agar bersedia menghadapi ancaman kesan krisis iklim seperti kenaikan paras laut, banjir, kemarau, gelombang panas dan lain-lain lagi. 2. Hentikan projek-projek yang memudaratkan alam sekitar serta kesihatan rakyat Malaysia seperti perlombongan bauksit, nadir bumi, pembinaan insinerator, loji nuklear dan lain-lain. Hentikan penambakan laut, penebangan hutan, projek-projek di kawasan sensitif alam sekitar, pembangunan di lereng bukit. 3. Hentikan pengimportan sisa yang akhirnya dibuang atau dibakar secara terbuka, dan mengakibatkan pencemaran alam sekitar dan menjejaskan kesihatan awam. Utamakan kawalan dan pencegahan pencemaran. 4. Hentikan pembakaran tanah perladangan, dan pembalakan. 5. Tingkatkan usaha pemuliharaan dan perlindungan hutan, paya bakau, pengurusan sungai, pencegahan dan penebatan banjir, dan pastikan bekalan air yang bersih dan mencukupi. 6. Gunakan tenaga alternatif yang boleh diperbaharui, yang bersih dan murah.
ENDORSEMENT:
|
Last Updated on Monday, 01 May 2023 10:50 |