Saturday, 08 May 2021
Kampung Compass Points Current Affairs Khalid Samad on SELCAT
Khalid Samad on SELCAT PDF Print E-mail
Wednesday, 30 September 2009 11:08

  My Photo

 

 " Adakah kita menganggap persoalan penyelewengan duit rakyat tidak sepenting soal meminum arak? "

 

 Reproduced from Khalid Samad's weblog 

 

27 September, jam 3.30 petang, maka akhirnya diadakan juga mesyuarat Perhubungan Negeri. Dalam mesyuarat ini memang banyaklah yang dinyatakan, khususnya persoalan wala’ terhadap pimpinan yang masih merupakan isu terbesar bagi kebanyakan YDP kawasan. Dalam persoalan ini saya sememangnyalah menjadi sasaran dan menjadi tumpuan teguran. Hanya saya sahaja yang masih tidak faham nampaknya. Wala' itu maknanya tidak boleh menegur pemimpinkah? Fahaman saya, tidak boleh ingkar arahan dan setakat ini tiada arahan berhubung perjalanan parti yang telah saya ingkari. Teguran dan ingkaran merupakan dua perkara yang berbeza. Namun menegur pemimpin, itu merupakan hak pengikut, lebih-lebih lagi apabila ianya kelihatan seperti menjejas kepentingan parti.

Namun, perkara tesebut wala' merupakan masalah terbesar sebahagian besar ahli mesyuarat. Bagi saya masalah besar yang sepatutnya di berikan tumpuan ialah persoalan SELCAT dan pengukuhan PR.

Oleh itu, pada hari ini saya ingin mengemukakan untuk tatapan umum hujjah-hujjah yang telah saya kemukakan di dalam mesyuarat berkenaan. Sekiranya ada hujjah saya yang salah atau menzahirkan kurang wala'nya diri saya ini, harap dapat dikemukakan dalam bentuk hujjah yang sama.

Pada hari mesyuarat, saya telah mengemukakan LIMA hujjah seperti berikut:-

1. Mengapa Mengambil Posisi Menegur SELCAT Secara Berasingan?
Saya menyatakan kepada mesyuarat bahawa isu-isu yang dibangkitkan oleh PJ telah dan sedang dibincang oleh ADUN-ADUN dan anggota SELCAT itu sendiri. Ramai telahpun bersetuju untuk memperbaiki perjalanan sesi soal-jawab SELCAT berpandukan feedback yang negatif berhubung kaedah soal-siasat dan sebagainya. Yang menjadi masalah ialah apabila PJ membuat kenyataan mengkritik SELCAT secara terbuka dan mengambil posisi bersendirian dalam isu ini. Ianya telah pun memberikan gambaran bahawa hanya PAS mengambil berat kedudukan pegawai kerajaan dan menjuarai mereka dan parti lain tidak. Sedangkan hakikatnya, pihak lain juga telah bersetuju dengan teguran-teguran yang telah disampaikan secara dalaman.

Saya menyatakan, “tidakkah lebih sesuai PJ mengatakan kami, iaitu PR, telah bersetuju untuk memperbaiki kaedah dan pendekatan soal-siasat terhadap pegawai-pegawai kerajaan supaya tidak dilihat sebagai berniat menghina dan memalukan mereka?

Sekiranya kenyataannya begitu, ianya tidak akan kelihatan seperti seolah-olah menempelak rakan lain di dalam PR dan PAS tidak akan dilihat sebagai menikam kawan dari belakang.

2. Mengapa Tidak Merujuk Kepada Wakil PAS yang Menganggotai SELCAT?
Isu kedua yang saya bangkitkan adalah berhubung satu-satunya wakil PAS di dalam SELCAT, iaitu YB Shaari Sungib. Saya bertanya mengapa mesyuarat tidak menjemput beliau memandangkan mesyuarat khas ini adalah berhubung SELCAT dan beliau adalah anggota SELCAT?

Saya bertanya lagi, “tidakkah lebih wajar kita mendengar pandangan dari ahli parti kita sendiri yang menganggotai SELCAT berhubung perjalanannya daripada mendengar aduan sebelah pihak pegawai kerajaan semata-mata?

3. Mengapa Membela Pegawai-Pegawai Kerajaan Sekiranya Mereka Bersalah?
Saya terus menjelaskan bahawa peranan SELCAT adalah untuk menjamin kecekapan, pertanggung-jawaban dan ketelusan. Pegawai-pegawai dipanggil untuk menjelaskan bagaimana mereka telah menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka, bukan persoalan peribadi mereka.

Sekiranya mereka menjalankan tugas mereka dengan betul tiada sebab yang perlu mereka rasa malu. Sekiranya mereka dipaksa menjalankan tugas mereka dengan cara yang kurang betul, maka perlu mereka nyatakan mereka dipaksa atau pun diarah berbuat begitu. Tetapi, sekiranya mereka ingin melindungi penyelewengan BN dulu, maka adakah perlu kita membela mereka?

Dalam pada itu, saya nyatakan, sesi SELCAT yang pertama dahulu yang melibatkan isu BALQIS telah berjalan dengan baik. Datin Khairiyyah telah menjawab semua soalan dengan telus dan mendedahkan bagaimana wang sebanyak RM 900,000 lebih telah diselewengkan dan dibazirkan oleh pentadbiran Khir Toyo. Dalam sesi soal jawab itu, tiada pula yang mengemukakan persoalan bagaimana sesi terbuka yang disiarkan secara terus menghina dan memalukan Datin Khairiyyah.

Kalau nak timbulkan soalan memalukan dan menghina, kenapa tidak kita membantah hukuman sebat terhadap Kartika juga? Adakah kita menganggap persoalan penyelewengan duit rakyat tidak sepenting soal meminum arak? Adakah kita menganggap bahawa Islam redha dengan persoalan yang pertama dan hanya menolak yang kedua? Sepertimana kita menerima hukuman sebat terhadap Kartika, hukuman ‘soal siasat’ terbuka tidak sepatutnya kita tolak.

Akhirnya saya menegaskan mengapa sesi itu perlu diadakan secara terbuka. Pendedahan oleh pegawai kerajaan sendiri adalah lebih berkesan dari sekiranya diadakan sesi tertutup dan kemudiannya maklumat disampaikan oleh kita kepada rakyat. Pihak tertentu boleh mengatakan ianya permainan politik dan pengakuan paksaan. Maka itu adalah lebih teruk, kita akan dikatakan sama sahaja dengan SPRM! Mengugut dan memaksa sehingga mendapat ‘pengakuan’.

4. Mengapa Saya Respon Kepada Kenyataan PJ
Dalam pada itu saya menjelaskan mengapa saya respon kepada kenyataan PJ. Saya nyatakan bahawa tindakan PJ menyerang SELCAT secara terbuka telah memberikan gambaran seolah-olah PAS tidak setuju dengan SELCAT dan dengan itu bercanggah dengan matlamat pentadbiran PR.

Saya menolak kenyataan PJ juga secara terbuka kerana ingin menegaskan bahawa PAS tetap bersama PR dan perpaduan sememangnya wujud di kalangan kami. Perpaduan PR adalah penting untuk dizahirkan kerana ianya akan meyakinkan rakyat untuk terus memilih kita. Bukan sahaja di Selangor tetapi juga untuk mendapat kembali Perak, memenangi Pahang dan negeri-negeri lain. Demi menyatakan perpaduan kukuh wujud dalam PR sepertimana kehendak muktamar, maka saya menyanggah PJ walaupun ianya akan menzahirkan perbalahan dalam PAS Selangor.

Kedua, sebagai Ahli Exco, saya beranggapan bahawa beliau sepatutnya mengambil posisi bersama kerajaan PR dan bukan menyerang usaha kerajaan untuk mengasaskan kecekapan, pertanggung-jawaban dan ketelusan dalam perkhidmatan kerajaan melalui Dewan Negeri Selangor. Saya menegaskan bahawa sekiranya PJ tidak mampu berkerjasama dengan ahli Exco yang lain, maka beliau sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Exco dan menjadi seorang back-bencher. Saya tidak pernah menyuruh beliau keluar PAS mahupun PR!

Sebenarnya amat tidak wajar kalau kita sebagai seorang ahli Exco yang bermesyuarat dengan Exco tiba-tiba di luar mesyuarat menyerang kembali usaha kerajaan. Sekiranya sebagai back-bencher, tidaklah bermasalah sangat. Samalah juga seperti seorang ahli dewan harian, bermesyuarat dengan dewan harian, tetapi diluar bantai balik dewan harian. Kalau begitu patut keluar dewan harian (sepertimana persetujuaan pelucutan jawatan saya sebagai TPJ) dan sekiranya dari luar, sebagai ahli perhubungan, berhak mempersoalkan keputusan dewan harian.

5. Bagaimana Dengan Janji Kita di Tropicana PJ?
Point saya yang terakhir ialah berkenaan perjanjian kita bersama hasil Konvensyen PR di Tropicana PJ yang telah diadakan selepas peristiwa arak dan Ronnie Liu. Hasil Konvensyen itu telah dipersetujui bahawa kita tidak akan lagi mengeluarkan kenyataan saling menyerang satu sama lain. Sekiranya mana-mana pihak melakukannya, maka tindakan disiplin perlu dikenakan atas orang berkenaan oleh partinya sendiri.

Saya bertanya, “tidakkah janji kita ini perlu kita hayati?”

Hujjah-hujjah di atas dikemukakan untuk tatapan umum supaya masyarakat dan khususnya ahli PAS kawasan Shah Alam memahami pendirian, tindakan dan usaha saya sebagai YDP mereka mempertahankan usul yang telah diluluskan tanpa bahas di dalam Muktamar ke 55 yang dibawa oleh Shah Alam yang berbunyi:

“Maka Muktamar PAS Pusat yang bersidang pada hari ini 11-13 Jamadilakhir 1430 bersamaan 5-7 Jun 2009 di Stadium Melawati, Shah Alam mengusulkan dan membuat ketetapan supaya PAS Pusat:-

i) Konsisten dengan pendirian untuk terus kekal berkerjasama dengan parti-parti politik dengan berusaha dan menyusun kaedah yang lebih berkesan bagi memperbaiki hubungan dan kesatuan antara parti dan ahli akan terbina, seterusnya mengekalkan dan melebarkan kemenangan PR demi menegakkan syiar Islam

ii) Berusaha mewujudkan struktur organisasi yang berdaftar atas nama Pakatan Rakyat sebagai alternatif atau pengganti kepada Barisan Nasional bagi menerajui kepimpinan Negara.

Bagi saya, apa-apa usaha yang bercanggah dengan matlamat usul yang telah diluluskan di Muktamar seperti di atas, maka wajib saya sanggah. Tidakkah sepatutnya begitu?

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments
Search RSS
Only registered users can write comments!
Last Updated on Wednesday, 30 September 2009 12:08
 

Your are currently browsing this site with Internet Explorer 6 (IE6).

Your current web browser must be updated to version 7 of Internet Explorer (IE7) to take advantage of all of template's capabilities.

Why should I upgrade to Internet Explorer 7? Microsoft has redesigned Internet Explorer from the ground up, with better security, new capabilities, and a whole new interface. Many changes resulted from the feedback of millions of users who tested prerelease versions of the new browser. The most compelling reason to upgrade is the improved security. The Internet of today is not the Internet of five years ago. There are dangers that simply didn't exist back in 2001, when Internet Explorer 6 was released to the world. Internet Explorer 7 makes surfing the web fundamentally safer by offering greater protection against viruses, spyware, and other online risks.

Get free downloads for Internet Explorer 7, including recommended updates as they become available. To download Internet Explorer 7 in the language of your choice, please visit the Internet Explorer 7 worldwide page.