Sunday, 29 November 2020
Kampung Compass Points Current Affairs 'Mengikuti jejak langkah Tunku'
'Mengikuti jejak langkah Tunku' PDF Print E-mail
Thursday, 02 September 2010 00:38

Pada Hari Merdeka yang baru lalu, akhbar tempatan Kosmo! telah menerbitkan, sebagai rencana utamanya, suatu temuduga dengan SHARYN LISA SHUFIYAN, cicit kepada Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman. Oleh kerana ruang terbitan yang terhad, isi kandungan temuduga asal yang telah dikendalikan melalui emel terpaksa pun diringkaskan. Dengan izin Sharyn, temuduga yang asal itu kami paparkan di sini


sharyn-tok_baby

Almarhum Tunku bersama Sharyn semasa Sharyn 'baby' lagi. Gambar / Koleksi keluarga Sharyn Shufiyan

1. Apa perasaan Sharyn apabila dilahirkan sebagai cicit kepada seorang tokoh kemerdekaan negara dan Perdana Menteri Malaysia Pertama?


Sebenarnya, tak ada rasa apa-apa pun. Seperti orang lain juga yang berpeluang mengenali moyang mereka. Masa itu saya masih kecil, saya tidak mengenali siapa allahyarham sebenarnya, jadi saya agak malu bila mendampinginya. Hanya ketika waktu sekolah, saya mendapat tahu bahawa Tunku adalah Perdana Menteri yang pertama, mula-mula bangga lah mengetahui bahwa moyang saya yang bertanggungjawab memerdekakan Malaya dan menyatukan Malaysia bersama pemimpin-pemimpin yang lain. Tapi lama-kelamaan saya rasa lali sebab kehadiran allahyarham tidak dirasai ditahap nasional dan generasi saya secara amnya tidak begitu mengingati jasa dan sumbangan Tunku. Masa sekolah pun, masa merayakan Hari Kemerdekaan, rakan-rakan saya yang lain memainkan watak Tunku, manakala saya memilih untuk berdiam diri. Cikgu tak tanya, saya tak cakap. Tapi kelakar jugak lah.


2. Bagaimana penerimaan rakan-rakan apabila mengetahui Sharyn merupakan cicit Tunku Abdul Rahman?


Tidak ramai kenalan yang tahu, hanya teman rapat. Pelbagai reaksi yang saya terima daripada rakan-rakan, setengahnya tak kisah, setengah pula terlebih, macam terkejut, atau bangga mereka kawan dengan saya, tapi saya cakap,"rileks lah, bukan hal besar pun". Ada juga yang menyokong saya untuk meneruskan legasi Tunku. Kebanyakan mereka yang mendapat tahu yang saya merupakan cicit kepada Tunku apabila mereka berkunjung ke rumah dan melihat gambar-gambar yang terpampang di dinding rumah dan ada juga yang saya beritahu sendiri kalau ada topik yang berkaitan. Walaubagaimanapun, jika ada rakan atau kenalan yang bercerita mengenai Tunku, saya lebih memilih untuk mendengar sebelum memberitahu tentang pertalian saya dan Tunku. Saya suka melihat reaksi mereka. Masa sekolah rendah, saya ada lah kecoh sikit, saya bawak gambar Tunku dukung saya masa bayi ke sekolah. Lepas tu gambar tu hilang, jadi saya dah tak kecoh dah.


3. Pada pandangan Sharyn, apakah sifat yang Sharyn warisi daripada Tunku? Mengapa?


Sebenarnya, saya lebih gemar mengatakan yang saya mengikuti jejak langkah Tunku berbanding dengan mewarisi sifat Tunku. Ini kerana, pada saya, saya mempunyai ideologi dan sifat-sifat yang berlainan dengan Tunku. Ini mungkin kerana kami hidup dalam generasi yang berbeza. Tapi saya amat kagumi sifat Tunku yang tidak hipokrit dan jujur. Moyang saya mempunyai hati yang baik serta mempunyai pandangan dan visi yang menginginkan semua penduduk Malaysia agar setaraf tanpa mengira bangsa dan agama. Namun sayangnya, visi allahyarham tidak tercapai. Maka dengan itu, saya mempunyai pendirian saya sendiri dan berani bersuara untuk meneruskan visi moyang saya dengan mengikut jejak langkah Tunku dalam aspek yang merangkumi kepercayaan kami terhadap demokrasi dan peluang yang adil bagi semua.


4. Bolehkah Sharyn ceritakan atau kongsi pengalaman yg menarik dan istimewa bersama Tunku yg masih Sharyn ingati?


Saya cuma ada 5 tahun bersama Tunku, jadi saya tidak berapa ingat lah. Memori saya bersama allahyarham tak berapa jelas. Saya ingat dulu jika allahyarham mempunyai tetamu, allahyarham akan memanggil abang dan saya datang berjumpa dan memperkenalkan kami kepada tetamu, kemudian dia akan bagi kami duit poket. Setiap Hari Raya kami akan berkumpul dirumahnya di Pulau Pinang, dan masa itu amat meriah sekali. Saya ingat memori bermain dihalaman rumahnya, bagi saya seperti kampung lah sebab saya tak ada kampung betul. Kami dulu selalu disuruh oleh nenek untuk 'pun' dan cium tangan moyang, 'pun' itu adalah adat sembah hormat, kerana kami masih mengamalkan adat istiadat di Raja. Kami juga kena bersopan bila mendampingi allahyarham kerana keluarga saya agak tegas, mereka tak suka budak-budak kecil lari sini, lari sana.


5. Nyatakan sikap Tunku bersama cicitnya?


Saya rasa tegas jugak. Saya kurang ingat, tapi seingat saya, saya agak malu dan sentiasa bersopan depannya. Tunku suka peluk cium kami jugak, dan allahyarham seorang yang amat penyayang. Walaupun begitu, kalau kami nakal, nanti kena ketuk kepala dengan tongkat. Tapi tak kuat, sikit saja.


6. Siapa yang selalu memberitahu/menceritakan kisah Tunku kepada Sharyn?


Masa membesar dulu, selalunya mak dan nenek saya, tapi mereka selalu cerita tentang dirinya, bukan tentang pencapaian, visi atau perjuangan allahyarham. Macam ibu bercerita tentang atuknya, takkan nak cerita pasal kerja, kan? Sebab tu lah saya tak tahu allahyarham siapa sehinggalah saya belajar sejarah disekolah. Tapi sekarang ni saya lebih membaca buku tentang Tunku dan buku-buku yang ditulisnya dulu untuk lebih mengenali cara pemikiran dan pandangan allahyarham.


7. Adakah Sharyn menjadikan Tunku sebagai idola untuk berjaya?


Tak sangat. Bagi saya Tunku adalah moyang saya, yang merupakan Bapa Kemerdekaan. Tapi bukan nak kata saya tak hormat atau saya tak bangga. Saya amat mengagumi perjuangan Tunku dan saya amat sayangi Tunku seperti moyang lah, tapi pemikiran dan ideologi saya berlainan. Sebenarnya saya tak ada idola lah, bukan ke kami tidak dibenarkan ada idola? Nanti JAKIM marah....hahaha


8. Pernahkan Sharyn menangis apabila membaca cerita mengenai kisah perjalanan hidup Tunku di dalam buku atau ketika menonton sesuatu dokumentari?


Ada. Selalu jugak rasa sebak. Lebih-lebih lagi kalau saya baca kepingan-kepingan suratkhabar semasa permergian Allahyarham. Saya sebak selalunya bila orang lain bercerita tentang Tunku, apabila mereka mengingat kembali kenangan mereka bersama allahyarham. Ramai orang sayang allahyarham, generasi yang tua lah. Kadang-kadang bila saya baca kata-kata dan visi Tunku, saya berasa sedih kerana situasi di Malaysia sekarang amat jauh sekali. Dan kadang-kadang saya sedih juga sebab saya tak dapat kenali allahyarham semasa sudah besar.


9. Dengan panggilan apa Tunku memanggil Sharyn dan sebaliknya? Mungkin ada nama manja or etc

 

Beliau biasa panggil nama saya sahaja, dan saya memanggil beliau 'Tok Tam' kerana itu panggilan ibu saya kepadanya. Tapi kalau nak ikutkan, patutnya saya panggil beliau nyang lah, untuk moyang tapi tidak.


10. Apa pendapat Sharyn mengenai generasi muda masa kini yang sudah lupa pengorbanan mereka yang berusaha menuntut kemerdekaan negara satu ketika dulu?

 

Kebanyakan pemuda dan pemudi di generasi saya lebih mengenali Tun Mahathir dan amat menyanjungi beliau. Kita kurang belajar tentang perdana-perdana menteri yang lain, hanya tentang apa yang mereka memperjuangkan, tapi kita sebenarnya tidak tahu prinsip, pandangan dan ciri-ciri mereka dengan lebih mendalam, kecuali jika kita melawat memorial mereka. Bila saya tanya teman-teman sebaya, siapa tokoh perdana menteri kesukaan mereka, mereka pasti akan jawab, 'Tun Mahathir' kerana beliau 'memajukan Malaysia.' Jawapan Tun Mahathir adalah kerana mereka hanya mengenali beliau dan membesar dibawah pemerintahan beliau selama lebih dari 20 tahun. Baru sekarang mereka kenali Abdullah Badawi dan Najib Razak.

Bukan pemimpin saja, tapi perjuangan askar-askar kita, kesusahan keluarga mereka serta 'hero-hero' kita tersendiri seperti Sybil Karthigasu, Rosly Dhoby atau Leftenan Adnan dan ramai lagi yang tidak ditampilkan. Saya pernah terdengar tentang siri televisyen bertajuk 'Suatu ketika' dan saya amat kagum dengan hasil kerja pembikinan filem tersebut yang memdedahkan pejuang-pejuang nasional yang kurang dikenali ramai.

 

Walaubagaimanapun, usaha pembikin filem tersebut amat terhad, ini kerana tidak semua berkesempatan untuk menonton hasil kerja mereka terutamanya penduduk luar bandar. Lebih-lebih lagi, pejuang-pejuang ini tidak dipelajari disekolah sebagai sejarah kita.

 

Generasi kini harus ada motivasi sendiri untuk menimba ilmu dan mempelajari sejarah alternatif, barulah kita mampu mengkritik dan mempunyai pandangan tersendiri. Barulah kita boleh menghargai sejarah negara kita dan mungkin memiliki jiwa patriotik yang lebih berkobar-kobar. Bagi saya, saya tak bangga ada Petronas Twin Towers, tapi saya bangga negara kita kaya dengan adat dan budaya yang pelbagai serta telah diterap oleh pelbagai bangsa. Saya mengagumi budaya Baba-Nyonya, saya mengagumi tradisi seni yang kian pupus seperti wayang kulit dan mak yong, dan juga kebebasan saya untuk keluar minum teh tarik dan makan maggi goreng pada puku 12 tengah malam kerana kedai masih buka!


11. Harapan Sharyn sempena kemerdekaan negara ke-53 pada 31 Ogos ini?


Harapan saya adalah supaya kita mempunyai lebih ruang untuk pandangan alternatif untuk berkembang. Kita hanya menerima pandangan dan informasi satu hala saja, dan amat terkawal. Saya rasa ini tidak sihat untuk masyarakat yang sedang maju. Kebanyakan kita masih takut akan perubahan dan pemimpin kita sekarang memanipulasikan ketakutan ini melalui retorik mereka.

 

Demokrasi bermakna kita mempunyai akses kepada pandangan yang berlainan dan kita dapat membina pendapat kita sendiri dan kita mempunyai kebebasan untuk mengungkap pandangan kita tanpa halangan. Barulah kita boleh maju, boleh berfikiran terbuka, boleh menyoal dan belajar dengan lebih mendalam.

 

Kita tidak boleh mengawal arus perubahan, tidak boleh membantutkan pemikiran masyarakat. Kita bukan mahu mencipta masalah, sebaliknya kita hanya mahukan yang terbaik untuk masyarakat Malaysia, kita tidak mahu pemikiran terus dikawal dan disuap sentiasa. Kita mahu bergerak kedepan.

 

Contohnya, pendapat umum bahawa ISA itu diperlukan untuk keselamatan negeri, sesetengah orang juga berpendapat bahawa ISA itu untuk melindungi hak orang Melayu, macam mana pun saya tak tahu lah sebab setahu saya ISA ditubuhkan untuk menentang Komunis, takde kena-mengena dengan Melayu pun.

 

Tapi lihatlah bagaimana ISA digunakan sekarang. Berkumpul secara aman menjadi rusuhan sebab ditentang oleh anasir kerajaan. Yang kita dengar diakhbar selalu menyalahkan perkumpulan ini. Semua lah perkumpulan haram. PERKASA kumpul boleh pulak. Macam mana lah? Bagi saya, apa-apa perundangan yang menafikan hak asasi kita untuk dibicarakan secara adil tidak boleh diterima.

 

Bayangkan kalau orang tersayang kamu ditahan dibawah ISA, kamu tidak dapat berjumpa, tidak dapat tahu apa kesudahan mereka, tidak dapat upah peguam untuk mewakili dia. Adil ke begitu? Orang yang ditangkap membunuh pun dibicarakan dahulu. Jadi harapan saya untuk merdeka juga adalah agar masyarakat Malaysia menyedari hakikat ini dan bersuara menentang polisi-polisi yang 'draconian' and menuntut agar perundangan dan polisi yang tidak adil ditinjau semula atau dimansuhkan terus.


Kita juga kenalah sedar dan terima bahawa Malaysia adalah milik dan rumah kepada semua tanpa mengira taraf, bangsa dan agama. Kita tidak boleh menghalau orang yang sudah berabad bermastautin disini. Cukuplah, sampai bila kita nak asyik halau orang? Bukannya mereka baru tinggal disini, dah beranak cucu dah, saya kadang-kadang tak paham lah.


Comments
Search RSS
Only registered users can write comments!
 

Your are currently browsing this site with Internet Explorer 6 (IE6).

Your current web browser must be updated to version 7 of Internet Explorer (IE7) to take advantage of all of template's capabilities.

Why should I upgrade to Internet Explorer 7? Microsoft has redesigned Internet Explorer from the ground up, with better security, new capabilities, and a whole new interface. Many changes resulted from the feedback of millions of users who tested prerelease versions of the new browser. The most compelling reason to upgrade is the improved security. The Internet of today is not the Internet of five years ago. There are dangers that simply didn't exist back in 2001, when Internet Explorer 6 was released to the world. Internet Explorer 7 makes surfing the web fundamentally safer by offering greater protection against viruses, spyware, and other online risks.

Get free downloads for Internet Explorer 7, including recommended updates as they become available. To download Internet Explorer 7 in the language of your choice, please visit the Internet Explorer 7 worldwide page.