Sunday, 12 July 2020
Kampung Compass Points Current Affairs Menangani kemiskinan bandar – satu paradigma baru
Menangani kemiskinan bandar – satu paradigma baru PDF Print E-mail
Saturday, 28 November 2009 10:57

urbanpv

Oleh Jayanath Appudurai

Terbitan asal CPI Asia

 

Ketika membentangkan Bajet 2010 pada Okt 23, 2009, Perdana Menteri menyatakan tekad kerajaan untuk mengurangkan tahap kemiskinan di kawasan bandar.


Najib Razak berkata, “Landskap kehidupan semasa menyaksikan kadar urbanisasi berkembang pesat dengan 63 peratus daripada penduduk tinggal di bandar. Kita sedar bahawa kehidupan di bandar pada kala ini bukannya mudah.”

 

Adakah urbanisasi pesat serta hakikat penderitaan rakyat di bandar suatu kesedaran yang timbul dengan sekonyong-konyongnya?


Sebenarnya, perubahan demografi ini telah bermula pada dekad 1980an, seperti yang boleh dilihat dalam Jadual I.


Jadual I: Paras Perbandaran 1970-2006

Tahun
Perkadaran Penduduk di Kawasan Bandar (%)
1970 26.8
1980 34.2
1991
50.7
2000 62.0
2006 65.2
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia, 2007

 

Nisbah penduduk bandar dan luar bandar telah jauh berubah dan kini hampir dua pertiga penduduk negara bermastautin di kawasan bandar. Sejumlah empat juta isi rumah bertempat di kawasan bandar berbanding dengan dua juta di kawasan luar bandar.


Ada kaitan dengan PRU13

Pengumuman Najib bahawa beliau sedar “kehidupan di bandar pada kala ini bukanya mudah” kurang tepat sebab realitinya sudah dialami rakyat bandar selama beberapa dekad. Maka harus disoal: Kenapakah ‘kesedaran’ ini hanya diakui pada tahun 2009?


Secara kebetulan, keprihatinan pihak berkuasa mula diutarakan secara rasmi semasa Perhimpunan Agung Umno pada April 2009. Najib telah mengingatkan para pewakilan bahawa:


“Hari ini kira-kira dua pertiga rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar. Atas kejayaan dasar-dasar yang digubal oleh Umno juga, sebahagian besar masyarakat Melayu telah menjadi masyarakat bandar. Sehubungan dengan perkembangan ini, Umno bukan sahaja perlu terus memperkasa usaha memerangi kemiskinan di luar bandar tetapi juga perlu peka dengan masalah kemiskinan bandar. Perlu difahami bahawa sebilangan keluarga di bandar yang berpendapatan rendah kini sukar untuk memenuhi tuntutan kehidupan seharian. ... Sekarang tibalah masanya kita mengulangi kejayaan itu dalam membasmi kemiskinan bandar bersesuaian dengan konteks semasa.”

 

Kepekaan ini dibayangi pula oleh Timbalan Perdana Menteri pada Ogos 29 apabila beliau mengumumkan bahawa kerajaan akan melibatgandakan usaha bagi membantu golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar.


Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa pendapatan RM3,000 bukan gaji yang mencukupi bagi menampung kehidupan penduduk bandar oleh kerana kos hidup di bandar adalah tinggi. Mengikut beliau, 40 peratus penduduk negara memerlukan bantuan bagi meningkatkan pendapatan mereka.

 

Pada Okt 14 baru-baru ini, Puteri Umno Wilayah Persekutuan telah mengesa kerajaan agar mengkaji semula Pendapatan Garis Kemiskinan [PGK] untuk kawasan bandar supaya mencerminkan keadaan kemiskinan yang sebenarnya. Wakil sayap Umno itu mengesyorkan bahawa PGK RM1,500 lebih realistik berbanding RM720 digunakan untuk mengkategorikan keluarga miskin.


Kesedaran Umno besar kemungkinannya berpunca dari kekalahan Barisan Nasional di kawasan bandar pada pilihanraya umum 2008 (PRU12). Ternyata bahawa azam baru untuk menangani masalah kemiskinan bandar terbit daripada kekalahan teruk di kerusi-kerusi bandar.


Dalam PRU12, BN telah tewas 39 kerusi Parlimen kawasan bandar yang dahulunya dimenangi mudah pada pilihanraya tahun 2004.


Kesimpulannya, dorongan memperkenalkan usaha baru bagi menangani kemiskinan bandar adalah berkait rapat dengan PRU13 menjelang tahun 2013, ataupun lebih awal.


Separuh isi rumah bandar adalah miskin

Dalam ucapan bajet, Perdana Menteri berikhtiar untuk menangani kemiskinan di bandar secara holistik.


Beliau mengumumkan peranan Kementerian Wilayah Persekutuan diperkukuhkan dan akan dikenali sebagai Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.


Najib berkata antara tugas utama kementerian tersebut ialah menyediakan satu pelan tindakan komprehensif dan melaksanakan program bersesuaian untuk menangani masalah kemiskinan bandar di seluruh negara, termasuk membantu golongan berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.


Pada Okt 26, 2009, Menteri Wilayah Persekutuan dalam temuramahnya dengan akhbar tempatan telah mengumumkan penetapan kerajaan atas ukuran RM3,000 sebagai PGK untuk isi rumah di kawasan bandar.


Dari sudut dasar awam, kenyataan tersebut merupakan satu peralihan paradigma yang radikal. Apa jua dorongannya, tahniah harus diucapkan kepada pihak yang menggubal dasar baru ini.


Yang penting, inilah julung kali kerajaan mengiktiraf masalah kemiskinan ketara yang memang dihadapi rakyat bandar, dan bukan sahaja mereka yang berada di kawasan luar bandar.


Di samping itu, PGK baru menandakan kesanggupan kerajaan untuk menggunakan satu garis pengukur lebih realistik sejajar dengan keadaan semasa.


Sebelum ini, PGK tidak memaparkan dengan jitu masalah kemiskinan bandar. PGK yang digunapakai dalam kajian separuh penggal tahun lepas bagi Rancangan Malaysia Ke-Sembilan [RMK9] adalah seperti di Jadual II.

 

Jadual II: Pendapatan Garis Kemiskinan, Rancangan Malaysia Ke-Sembilan

Wilayah

PGK

(RM sebulan)

Kadar Kemiskinan (%)

PGK Miskin Tegar

(RM sebulan)

Kadar Kemiskinan Tegar (%)
Semenanjung 720 2.3 430 0.3
Sabah 960 16.0 540 3.7
Sarawak 830 4.2 520 0.7
Malaysia
3.6
0.7
Bandar
2.0
0.3
Luar Bandar

7.1
1.4
Sumber: Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Ke-9, EPU, 2008

 

Berdasarkan PGK RMK9, isi rumah miskin di kawasan bandar adalah hanya 75,000 buah.


Sekiranya, PGK baru RM3,000 digunakan adalah dianggarkan bahawa isi rumah miskin di kawasan bandar akan melambung kepada 1.95 juta isi rumah. Ini bermakna hampir 50% isi rumah di kawasan bandar harus dikategorikan sebagai miskin.


Jika pengunjuran ini tepat, maka peruntukkan RM48 juta dalam Bajet 2010 bagi menangani kemiskinan bandar nyata tidak mencukupi! Jelas bahawa peruntukan sumber bagi membasmi kemiskinan yang sekian lama lebih tertumpu kepada kawasan luar bandar perlu diagihkan semula kepada kawasan bandar.


Kementerian beralih tangan dari MCA

Sejak 1990, program pembasmian kemiskinan bandar dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan – suatu portfolio yang lazimnya dipegang oleh MCA. Mengikut pengumuman Bajet 2010, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan mengambilalih tanggungjawab ini.


Nampak gayanya, tugas penting yang sekian lama dipegang oleh menteri calon parti MCA kini dipindahkan kepada menteri Umno! Jelas tampaknya niat Umno untuk mendapat balik sokongan masyarakat Melayu di kawasan bandar, khususnya golongan miskin dan berpendapatan rendah.


Kekalahan Umno dalam kerusi-kerusi Parlimen Lembah Pantai, Bandar Tun Razak dan Titiwangsa mungkin merupakan dorongan besar bagi kerajaan untuk mengembangkan bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan.


Namun muncul pula beberapa kemusykilan tentang pertindihan tugas:

  • Adakah Kementerian Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan bagi mengurus hal-ehwal wilayah-wilayah Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan juga mengawal semua kawasan bandar di tempat-tempat lain?
  • Bagaimanakah Kementerian dengan nama baru ini akan mengawalselia Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam melaksanakan program membasmi kemiskinan bandar, walhal PBT masih di bawah kawalselia Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan?
  • Sejauh manakah fungsi Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berbanding Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga yang kini terlibat dalam program kemiskinan bandar akan diselaraskan kelak?

 

Sekiranya kerajaan betul-betul komited untuk menangani masalah kemiskinan bandar, ianya perlu mengkaji semula peranan dan fungsi ketiga-tiga kementerian yang disebut tadi.


Dasar dan program pembasmian kemiskinan serta pengagihan peruntukan pembangunan perlu dirombak supaya masalah warga miskin bandar dapat ditangani. Ianya harus dilaksanakan berlandaskan keperluan sebenar kumpulan sasaran, sejajar dengan falsafah Dasar Ekonomi Baru, iaitu untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum!


Apapun, biar kita sama-sama tengok saja nanti betapa komitednya kerajaan dalam perkara ini.

Comments
Search RSS
Only registered users can write comments!
Agatha  - Straight shooting article |2009-12-02 03:37:20
way to go Jay. The influence is worldwide. I concur with your arguments and anticipation!!
 

Your are currently browsing this site with Internet Explorer 6 (IE6).

Your current web browser must be updated to version 7 of Internet Explorer (IE7) to take advantage of all of template's capabilities.

Why should I upgrade to Internet Explorer 7? Microsoft has redesigned Internet Explorer from the ground up, with better security, new capabilities, and a whole new interface. Many changes resulted from the feedback of millions of users who tested prerelease versions of the new browser. The most compelling reason to upgrade is the improved security. The Internet of today is not the Internet of five years ago. There are dangers that simply didn't exist back in 2001, when Internet Explorer 6 was released to the world. Internet Explorer 7 makes surfing the web fundamentally safer by offering greater protection against viruses, spyware, and other online risks.

Get free downloads for Internet Explorer 7, including recommended updates as they become available. To download Internet Explorer 7 in the language of your choice, please visit the Internet Explorer 7 worldwide page.